Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis.
Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai.
Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam.
Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong.
Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.












Tiada ulasan:
Catat Ulasan