Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis rasmi atau sebagai pakaian pengantin.
Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping.
Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita kain digunakan untuk mengikatnya.
Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang membelakangkan.
Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cana yang kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai meyelubungi kepala. Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.












Tiada ulasan:
Catat Ulasan